7 Petua Masak Nasi Supaya Tak Cepat Basi, Boleh Tahan Sampai 2 Hari

“Aik, aku baru masak nasi ni pagi tadi. Takkan belum malam lagi dah basi. Terpaksa buang semuanya, dahlah perut tengah berkeroncong ni. Silap teknik agaknya tadi. Apa petua masak nasi yang betul?”

Hairan juga kalau nasi yang kita masak cepat betul basi. Sedangkan, nasi bungkus yang kita beli di warung dan restoran biasanya boleh tahan sampai ke petang walaupun tidak disimpan dalam peti sejuk. Apa rahsia mereka agaknya?

Dengan 7 petua masak nasi ini, anda juga boleh mengelakkan nasi yang dimasak daripada cepat basi.

Foto Kredit: howtoremovethat.com
Foto Kredit: howtoremovethat.com

7 PETUA MASAK NASI SUPAYA TAK CEPAT BASI, BOLEH TAHAN LAMA

Berikut adalah petua masak nasi yang boleh dipraktikkan agar ia tahan lebih lama.

1. BASUH HINGGA BERSIH

Sesetengah orang kata, jangan basuh nasi banyak kali kerana risau semua nutrisi akan keluar. Walaubagaimanapun, jika beras hanya dicuci sekali, ia cenderung akan menjadi cepat basi.

Apa yang anda boleh lakukan adalah mencucinya dengan betul dan pastikan air bilasan beras betul-betul keluar sebelum mencuci kali lagi buat kali kedua atau ketiga.

Selain itu, anda boleh cuba membuat bilasan terakhir dan memasak nasi menggunakan air dari mesin penapis sekiranya ada di rumah.

Foto Kredit: leaf.tv
Foto Kredit: leaf.tv

2. PASTIKAN PERIUK DICUCI BERSIH

Salah satu lagi penyebab masalah nasi cepat basi adalah kerana adanya kotoran atau nasi yang masih melekat pada periuk yang digunakan. Jika diperiksa dengan teliti pada bahagian dalamannya, mungkin terdapat bahagian yang dikotori dengan karat atau kesan wap nasi. Ini boleh menjejaskan fungsi ‘rice cooker’ dan kualiti nasi anda.

Oleh itu, pastikan anda mencuci periuk nasi dengan bersih setiap kali selesai menggunakannya.

Foto Kredit: chowhound.com
Foto Kredit: chowhound.com

3. PERAHKAN LIMAU NIPIS

Sebelum nasi dimasak, perahkan setengah biji limau nipis ke dalam 2-3 pot beras yang dah disukat dengan air. Jangan khuatir, rasa nasi tidak akan berubah meskipun ia telah ditambah dengan perahan limau ini.

Malah, ia menjadikan nasi lebih harum dan tahan lama kerana keasidannya.

Foto Kredit: seriouseats.com
Foto Kredit: seriouseats.com

4. HILANGKAN WAP NASI SELEPAS DIMASAK

Apabila nasi dimasak dengan rice cooker, jangan lupa buka penutupnya sebaik saja butang ‘cook’ berubah kepada ‘warm’. 

Kais-kaiskan sedikit nasi supaya nasi masak secara rata dan biarkan wap yang terkumpul keluar daripada periuk. Dengan cara ini, nasi tidak akan menjadi lembab. Sebelum menutup semula nasi tadi, lapkan penutupnya dengan kain bersih.

Petua masak nasi ini bukan saja menjadikannya tahan lama, tetapi juga menjadikannya teksturnya lembut dan berderai dengan elok. Seperkara lagi, pastikan anda mencabut plug ‘rice cooker’ sekiranya nasi tidak akan dimakan dalam masa terdekat.

Foto Kredit: siamsizzles.com
Foto Kredit: siamsizzles.com

5. MASUKKAN SECUBIT GARAM

Selepas mencuci beras dan menyukat air, masukkan secubit garam ke dalam periuk.

Tujuan memasukkan garam adalah supaya nasi yang masak lebih tahan lama, sedap dan kenyal.

hilangkan sakit gigi
Foto Kredit: phunukiueviet.com

6. PANASKAN PERIUK NASI ATAS DAPUR

Kadang-kadang kita terlupa ada nasi dalam periuk semasa balik kampung. Maka, nasi pun berulat dan berair. Walaupun dah dicuci banyak kali, mungkin bakteria masih ada yang aktif dan menyebabkan nasi mudah basi selepas itu.

Untuk mengatasi masalah ini, pengguna Facebook, Puan Suaida Salehudinmenyarankan agar telingkupkan periuk nasi atas dapur, kemudian nyalakan api. Tindakan ini dapat membunuh semua bakteria yang masih tinggal sekaligus menjadikan nasi yang dimasak tahan lebih lama.

Tambahnya lagi, petua masak nasi turun-temurun ini memang berkesan dan nasi yang dimasak takkan basi walaupun dah 2 hari.

petua masak nasi
Foto Kredit: Puan Suaida Salehudin

7. MASAK AIR DALAM PERIUK NASI

Cara ini mungkin mempunyai fungsi yang sama dengan tips ke-6 di atas.

Isikan air di dalam periuk nasi sehingga penuh. Kemudian, masak di atas dapur gas sehingga air mendidih. Boleh memasukkan beberapa helai daun pandan ketika proses ini. Dapur akan wangi semerbak.

Menurutnya, proses masak air sehingga mendidih di dalam periuk nasi ini tidak perlu dilakukan setiap kali hendak masak nasi. Memadai melakukankannya sekali sebulan untuk menjamin ketahanan nasi.

petua masak nasi

Foto Kredit: shutterstock.com

MUDAH BUKAN?

Inilah beberapa petua masak nasi yang boleh anda lakukan untuk meningkatkan kualiti dan menjaga ketahanannya. Jadi, tiada masalah lagi kalau anda terlupa menyimpannya dalam peti sejuk.

Walaubagaimanapun, ia juga bergantung kepada faktor lain seperti suhu persekitaran, teknik sukatan air, dan jenis beras yang digunakan.

Sekiranya anda mempunyai tips lagi, bolehlah kongsikan kepada kami. Mudah-mudahan dapat dimanfaatkan oleh ramai orang di luar sana.

BACA JUGA…

5 Tips Masak Nasi Menggunakan Beras Basmathi, Agar Lembut & Peroi

Kita mungkin tak selalu menggunakan beras jenis basmathi kerana beras ini biasanya hanya digunakan untuk membuat menu istimewa seperti Nasi Minyak atau Nasi Arab. Beras ini lebih panjang, padat, dan sedap. Harganya pun tentulah lebih mahal.

Apabila menggunakan beras basmathi, cara memasaknya tidak sama dengan memasak beras biasa. Ramai yang mengeluh kerana hasil percubaan kali pertama menggunakan beras basmathi ‘kurang’ menjadi.

Jadi, bagaimana nak mendapatkan tekstur nasi yang lembut, berderai cantik, dan tidak berketul apabila menggunakan beras basmathi?

Ini perkongsian daripada Puan Zulfa, rakan blogger kami yang amat berpengalaman dalam bidang masakan. Jom ikuti selanjutnya daripada beliau.

tips masak beras basmathi
Perbezaan beras biasa (kiri) dengan beras basmathi (kanan). / Foto Kredit: en.wikipedia.org

5 TIPS MASAK NASI MENGGUNAKAN BERAS BASMATHI, BARU LEMBUT & PEROI

Saya belajar masak guna basmathi ni pun dari pengalaman memasaknya beratus-ratus kali. Sekali masak berkilo-kilo, dan biasanya saya masak atas dapur sebab tak ada periuk eletrik yang cukup besar utk masak nasi ini.

Untuk pelbagai menu nasi berperisa yang saya masak, saya suka menggunakan beras basmathi jenis Pusa 1121.

Mengikut pengalaman, beras ni tahan lasak, tak mudah patah apabila dikacau, dan harganya pun berpatutan. Tapi guna jenis lain pun boleh, asalkan anda mengamalkan tips masak beras basmathi yang saya kongsikan di bawah ini.

Foto Kredit: isaactan.net
Contoh beras basmathi jenama Pusa 1211. / Foto Kredit: isaactan.net

TIPS MASAK BERAS BASMATHI: LANGKAH DEMI LANGKAH

1. MENYEDIAKAN BERAS

Kalau nak nasi yang cantik dan memanjang pada kadar yang maksimum, beras basmathi ini memang kena rendam dulu. Kalau tak rendam nanti hasilnya nasi tak cukup lembut dan keras bila dah sejuk serta tak sepanjang yang dilihat didalam iklan produk.

  • Basuh beras hingga bersih.
  • Rendam beras dengan air yang diletakkan garam selama 20 – 30 minit. (Merendam beras dengan garam ikut sumber dari timur tengah menghasilkan nasi yang lembut dan berderai). Selepas 20 – 30 minit, toskan airnya hingga kering.


Foto Kredit: kyharim.ru

2. SUKATAN BERAS : AIR

Tips masak beras basmathi yang elok, ianya perlu disukat betul-betul mengikut nisbah beras kepada air/cecair yang digunakan. Tak boleh main agak-agak.

Kalau terkurang air, nasi akan jadi keras terutamanya setelah sejuk dan kalau terlebih nasi akan jadi lembik dan melekat (tidak berderai).

Saya menggunakan nisbah 1 cawan beras : 1 1/4 cawan air atau campuran air dengan cecair lain seperti susu, santan.

Nisbah ini saya gunakan untuk masak beras jenis Pusa, Kashmir dan Moghul.

Kalau nak lebihkan airnya pun pastikan nisbahnya tak lebih daripada nisbah ini, iaitu 1 cawan beras : 1 1/2 cawan air.

Foto Kredit: bigapplecurry.com
Foto Kredit: bigapplecurry.com

3. PILIH KAEDAH MEMASAK

Kebiasaannya ada beberapa cara memasak nasi.

  • Kaedah menumis dahulu beras – Pastikan cecair yang dimasukkan berada pada suhu didih atau cukup panas untuk mengelakkan beras terendam lama dan menjadi  lembik dan mudah patah.
  • Kaedah didih air ikut sukatan – Pastikan air/cecair dididihkan terlebih dahulu mengikut sukatan. Setelah mendidih, tuangkan beras yang telah direndam dan ditos.
  • Kaedah didih air tanpa sukatan – Air dididihkan dalam kuantiti yang banyak (tanpa sukatan tertentu) dan rebus beras yang telah direndam hingga separuh atau 3/4 masak. Tos jangan terlalu kering atau tos kering dan renjiskan dengan susu atau santan (ikut keperluan resepi) masakkan kembali hingga nasi masak sepenuhnya. Sedikit cecair yang digunakan akan menghasilkan wap, yang akan membantu nasi masak sempurna selain mengelakkan nasi hangus dalam proses seterusnya.

Foto Kredit: leaf.tv
Foto Kredit: leaf.tv

4. SEMASA MEMASAK

Walau apa pun kaedah yang anda pilih di atas, ini tips masak beras basmathi yang perlu dititikberatkan.

Antaranya:

  • Pastikan mengacau beras yang sedang dimasak hanya apabila cecairnya masih banyak. Apabila cecairnya telah mengering, elakkan mengacau kerana beras akan mudah patah.
  • Sekiranya memasak menggunakan api dapur, pastikan api dapur dikecilkan setelah cecair kering dan periuk ditutup rapat untuk mengelakkan wap keluar.
  • Biarkan nasi yang telah masak selama 5 – 10 minit sebelum membuka tudung periuk dan mengareh/mengacau nasi.
  • Karih ketika nasi masih panas, sekiranya telah sejuk, nasi akan mula bergumpal dan melekat. Tekstur nasi akan menjadi cantik dan berderai sebutir-sebutir dengan elok.
  • Karih nasi dari tepi periuk dan angkat ke tengah, lakukan dengan perlahan-lahan. Ini kerana, kalau kita buat kelam-kabut, nasi yang lembut akan mudah patah. Kalau ada sudip macam garpu besar lebih elok digunakan.

tips masak beras basmathi
Foto Kredit: myhalalkitchen.com

5. PANDUAN TAMBAHAN

  • Menggunakan pewarna – Jika menggunakan pewarna, titiskan pewarna apabila nasi dah mengering, dan biarkan jangan kacau lagi hingga nasi telah masak sepenuhnya. Kalau nak guna dua tiga pewarna berbeza pastikan jarakkan antara satu warna dengan yang lain.
  • Minyak – minyak tak termasuk dalam jumlah cecair yang digunakan untuk masak nasi.
  • Elak nasi patah – Jangan terlalu kacau masa masak guna basmathi ni terutama bila cecairnya dah kering. Nanti habis patah riuk beras tu.
  • Bekas penyukat – Gunakan penyukat yang sama untuk menyukat beras dan air/cecair.
  • Tanpa rice cooker – Kalau masak atas dapur, gunakan api yang besar masa airnya tengah banyak. Ini dapat memastikan nasinya tidak lembik atau terlebih kembang. Apabila air dah kering, barulah kecilkan apinya.

Foto Kredit: Blog Puan Zulfa
Foto Kredit: Blog Puan Zulfa

SELAMAT MENCUBA!

Dengan sedikit praktis, anda pasti dapat menghasilkan nasi yang lembut serta tekstur yang cantik dengan menggunakan beras basmathi.

Semoga perkongsian ini dapat memberi anda keyakinan untuk memasak hidangan istimewa buat seisi keluarga.

Jadi, apa lagi. Jom kita cuba lakukan tips masak beras basmathi ini.

Sumber: Siraplimau

LIKE PAGE >> Himpunan Tips dan Petua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *