The Flash pilih gadis Sabah menjadi suri hatinya

KOTA KINABALU – Pelakon utama yang membintangi watak Flash iaitu Thomas dan tunangnya dilihat berada di Kota Kinabalu, Sabah setelah memuatnaik gambar bersama berlatarbelakangkan sebuah bangunan kecil.

Thomas Grant Gustin, 27 tahun yang lebih dikenali sebagai Barry Allen atau Flash dilaporkan telah berada di Sabah sejak 17 Disember lalu sebelum pulang semula ke Amerika Syarikat semalam (29 Disember).

Dengan kapsyen yang membawa maksud, “Kami berjaya lakukannya”, para peminat tidak melepaskan peluang untuk memberi respon positif dan mengalu-alukan kedatangan pasangan ini ke Malaysia.

Walaupun ramai penduduk Sabah tahu keberadaan pasangan ini di Kota Kinabalu, mereka tidak mendedahkan lokasi sebenar mereka kerana menginginkan privasi semasa percutian ini.

Menurut Thomas, orang ramai menyedari akan kehadirannya namun tetap menjarakkan diri.

“Mereka sangat menghormati kami. Kebanyakannya akan datang kepada kami untuk bergambar bersama. Tiada yang akan curi-curi ambil gambar atau bersikap kurang ajar terhadap kami”.

Keberadaan Thomas di Sabah adalah bagi menjalani upacara tradisional bersama tunangnya, Andrea Thoma, 29 tahun. Andrea merupakan seorang ahli terapi fizikal dan berketurunan separuh Kadazan.

Kedua-dua Thomas dan Andrea yang telah mengikat tali pertunangan sejak Mei lalu kelihatan sangat teruja untuk belajar mengenai negeri di bawah bayu itu dan juga budaya Kadazandusun dengan lebih mendalam.

Walaupun Andrea dilahirkan di Ohio, Amerika Syarikat, dia mengetahui serba sedikit mengenai amalan budaya di Sabah. Malah, Andrea juga boleh berbahasa Melayu dan Kadazan walaupun tidak begitu fasih.

“Kadangkala, ibu saya akan bercakap dalam bahasa Kadazan supaya kami tidak lupa mengenai asal usul walaupun menjadi warga Amerika,” kata Andrea.

Tambah Thomas lagi, ini merupakan kali pertamanya tiba di negara ini dan dia amat mengagumi keindahan masyarakatnya.

Thomas turut memaklumkan bahawa dia telah mempelajari beberapa perkataan Kadazan seperti Kotohuadan yang bermaksud Terima Kasih dan Araimaitii!

“Saya juga diberitahu bahawa masyarakat di sini boleh menggulung lidah mereka dan menyebut rrrr dengan bagus”.

Upacara perkahwinan yang dijalankan mengikut budaya tradisional ini telah berlangsung di Kampung Kolopis Penampang pada Rabu lalu. Antara tetamu yang hadir adalah rakan rapat dan keluarga terdekat kedua-dua pasangan.

Dilaporkan, Thomas sudah merancang untuk membeli tanah di Sabah. Pasangan ini dikhabarkan akan mengadakan resepsi perkahwinan mereka di Amerika Syarikat pada tahun hadapan.

Sumber: The Star dan NST

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *