“Wah kalau macam tu, abang memang hebat!” Kagum cara ibu ini redakan pertelingkahan anak2

“Abang pandai memilih, Hisham pandai bergaya”
===================================

“Ibuuuu tengok tu Hisham, ambik topi yang abang pakai. Apa yang abang pakai semua dia nak ambik. Abang dah ambik dulu..” Hafiz merengek sambil memek mukanya. Bergenang airmatanya. Dia duduk di sofa di ruang tamu.

Hisham, Humairah dan Kak Long dah berada dalam kereta. Malas rasanya nak melayan kerenah mereka pagi-pagi ni. Saya senyap sahaja sambil mengarahkan Hafiz masuk ke dalam kereta. Kak Long akan menduduki peperiksaan percubaan SPM pagi ni. Jadi kami perlu cepat.

Hafiz monyok saja, kecewa tiada respon membelanya dari saya. Sakit hati juga barangkali bila tiada pertanyaan dari saya menyelidik situasi sebenar seperti biasa yang saya lakukan.

Kereta beredar meninggalkan perkarangan rumah melalui jalan kampung yang agak sempit untuk keluar ke jalan utama.

Suasana dalam kereta senyap dalam 5 min. Mulut saya kumat kamit membaca doa naik kenderaan dan ayat kursi. Selesai saja, kami sudah tiba hampir ke jalan utama yang jaraknya lebih kurang 700m. Saya ligat memikirkan apakah cara terbaik untuk menyelesaikan kes Hafiz dan Hisham.

Dalam kebanyakan hal Hisham pasti menang. Hafiz lebih banyak beralah dan adakalanya diminta untuk beralah.

“HafizZz… “berlagu saya menyebut namanya.

“Tadi abang kata Hisham ambik topi abang ya?” Hafiz berdiri di belakang saya. Saya tahu dia berharap sangat saya berkata sesuatu agar hilang marahnya dan berharap agar Hisham “kena marah” dengan ibu.

Mukanya masih sedih. “Semua yang abang ambik Hisham nak juga” adu Hafiz.

Di belah kiri kerusi Hisham duduk senyap menunggu masa ‘hukuman’ dari ibu.

“Wah kalau macam tu, abang memang hebat!” Hafiz terkejut bila saya berkata demikian.

“Allah bagi abang keistimewaan apa yang abang pilih orang lain suka, kalau abang buat topi macam ni banyak-banyak mesti ramai orang nak beli. Abang pakai je nampak cantik, orang pun nak beli” saya berhenti seketika. Tidak kedengaran lagi suara sedu dan rengek Hafiz.

“Abang besar nanti boleh buat bisness, boleh jual topi, baju macam-macam lagi. Sebab abang pandai pilih model yang menarik” sambung saya lagi.

“Jual yang lain pun boleh kan bu?” Tiba-tiba terpacul soalan dari mulut Hafiz dengan nada yang ceria dan optimis sangat.

“Boleh lah… jual apa-apa saja, abang pandai pilih barang yang cantik dan bersesuaian. Hisham pulak boleh jadi model pakaian yang abang nak jual. Mesti ramai orang suka” sambung saya lagi.

“Betul lah…” and it continued. Ibu pun dah tak ingat dialognya. Apa yang saya ingat adalah fasa-fasa kritikal meredakan perkelahian dua anak kecil ini.

Tiada lagi perbalahan lisan, Hisham pun senyap dan Hafiz pun puas hati.

The end!

Semoga bermanfaat untuk dikongsikan. Carilah suatu yang positif dalam setiap kejadian dan jadikan ianya suatu yang ada nilai untuk dijadikan pengajaran kepada anak-anak agar mereka juga menjadi positif dan tidak terus dibelengu dengan perasaan tidak puas hati dan dengki.

Wallaualam.

Sumber : Dr. Norzila Zakaria

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *