‘Ya Tuhan, ini rumah orang mati kena bunuh ke?’ – Bayar RM371 tapi dapat ‘banglo’ indah khabar dari rupa


Baru nak berseronok bercuti bersama keluarga, namun terbantut apabila rumah yang disewa pula indah khabar dari rupa malah memudaratkan sesiapa saja yang tinggal di dalamnya. Siling berkulat, langsir berkulat, cadar tilam berkulat, peti ais berkarat, bilik air pun berkarat, langsung tidak sesuai untuk dihuni oleh manusia, apatah lagi tidak sesuai dengan harga RM371.

Kesal dan merasakan dirinya teraniaya mendorong Amma Emrys memuat naik video dan gambar kejadian itu di media sosial agar orang ramai sedar dan tidak terperdaya serta berhati-hati apabila mahu merancang percutian.  Semoga jadi pengajaran buat kita semua.

PERCUTIAN keluarga yang sepatutnya menyeronokkan bertukar menjadi mimpi ngeri. Congkak Park and Resort, Hulu Langat yang diuruskan oleh Tourism Selangor ternyata amat mengecewakan.Kami check in pada hari Sabtu 7 Oktober 2017, menyewa sebuah banglo bernombor 9 yang berharga RM371 untuk satu malam. Jika melihat pada gambar yang diberikan oleh ejen yang menguruskan tempahan, banglo itu memang nampak cantik. Tetapi apabila sampai di depan banglo, aduhai. Dari luar nampak sedikit usang.

“Ya Tuhan, ini rumah orang mati kena bunuh ke ni?”

Buka saja pintu, bau kulut dan kulapuk menerjah hidung. Masuk ke dalam, memang terkejut sungguh melihat sofa kulit yang sudah koyak di atas bawah. Bila duduk pun tenggelam. Blind langsir dah bertompok dan berkulat. Bertambah terkejut apabila mendapati bahagian siling seluruh rumah pun sama, berkulat! Kalau roboh siling, memang naya.

Kami letak semua barang dulu kerana ada beberapa aktiviti yang telah dirancang harus dilaksanakan juga. Jadi masing-masing turun ke sungai di depan banglo. Usai semua aktiviti di sungai, balik ke banglo nak bilas badan tetapi air di bilik air pula tekanannya kecil. Apa gaya nak mandi kalau begini? Bilik air yang kotor, tak payah ceritalah.

Bila nak baringkan Areej di atas katil, duduk saja di atas tilam, ‘PRAPPP!’ dan saya sendiri jatuh ke lantai. Ya Tuhan, rupanya divan katil dah hancur dan tidak dapat menampung bebanan lagi. Kemudian saya bangun dan pergi ke bilik sebelah, tengok cadar katil bertompok-tompok kotor dengan kesan kulat, tahi lalat dan tak tahulah apa lagi jenis kotoran itu, gelinya rasa. Sudahnya pakaikan baju Areej atas lantai yang dilapik dengan sejadah.

Terus salah seorang ahli keluarga ambil kereta dan pandu ke pintu masuk sebab di sana ada sebuah pejabat pendaftaran yang kecil untuk meminta tukar kain cadar katil. Masa itu jam 6 petang, semua pekerja resort sudah pulang kecuali pengawal keselamatan sahaja. Bayangkan pengurusan resort boleh tinggalkan semua pelanggan yang menyewa di situ sendirian? Jika berlaku apa-apa kemalangan yang tidak diingini di tengah malam, macam mana? Ini memang mengarut.

Kecewa dengan keadan itu, terpaksa balik semula ke banglo dan menghadapi semua ini. Tambah lagi, sebanyak tiga kali bekalan elektrik terputus disebabkan ada masalah suis elektrik ditendang semula. Hati sudah semakin sakit sebab keperluan asas juga tiada. Plastik sampah juga tidak disediakan. Peti ais pun sudah berkarat, nak menggunakannya pun takut. Cerek untuk masak air panas juga tiada, malah sabun mandi dan tuala juga tidak disediakan. Bayangkan dengan harga sebegitu, apa pun tak ada!


Malam bila nak tidur, kami cuba tutup pintu tetapi selepas itu masing-masing sesak nafas dan sakit dada sebab bau kulapuk dan udara yang tercemar. Penyelesaiannya, terpaksa buka semua pintu termasuk pintu depan untuk mendapatkan sedikit udara segar. Tetapi serangga pula yang masuk.

Ini belum kira bab hantu lagi. Bawah rumah ada empat ekor anjing liar, kurus dan lapar. Mereka tak fikir ini semua berbahaya kepada pelanggan mereka? Bayangkan mak dan ayah saya pun ikut, dengan adanya kanak-kanak lagi terpaksalah bernafas dengan udara yang tercemar seperti itu. Memang sangat-sangat bahaya!

Pihak Tourism Selangor seharusnya peka. Adalah amat memalukan apabila resort yang diuruskan sendiri berada dalam keadaan sebegini. Bangunan itu memang tidak sesuai untuk disewa atau diduduki langsung oleh manusia. Kami memang benar-benar rasa tertipu kerana dalam gambar yang diberi sewaktu mahu membuat tempahan tidak menunjukkan keadaan yang sebenar.

Mohon yang membaca post ini viralkan agar tiada lagi yang tertipu seperti kami.

Sumber: Emma Emrys

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *